Wednesday, January 14, 2009

Musim Berubah

Hadir dalam kapsul tahun Hijrah 1400 dan Tahun Masehi 2009 menyoal tanda-tanda kewujudan dan kecapaian hidup. Peralihan Tahun Hijrah 1400 ditandai dengan bacaan doa akhir tahun dan awal tahun pada 29 Disember 2008. Seluruh masjid, surau, dan balai ibadah di Negara Brunei Darussalam mengadakan majlis sambutan Tahun Hijrah tersebut. Peralihan Tahun Masehi 2009 di Brunei pula tidak saya ketahui kerana waktu itu saya berada di Kota Kinabalu, Sabah dalam kerangka Kembara Bakti Belia Majlis Belia Daerah Brunei Muara bersama Angkatan Belia Islam Malaysia, Sabah. Dari jendela tempat penginapan kami di Kompleks Tabung Haji terlihat di kejauhan percikan bunga api. Tapi bukan sambutan yang perlu diberikan perhatian. Sebagai manusia, keperluan hidup menuntut banyak permintaan, harapan, impian, cita-cita, dan keinginan. Namun apa yang menjadi dasar ialah pada setiap masa kita harus merealisasikan hablum minallah kemudian baharulah hablum minannas iaitu menjaga hubungan kita sebagai hamba kepada Allah kemudian baharulah hubungan kita sesama insan. Sehubungan dengan itu tentu kita memperkirakan tentang nisbah amal ibadah kita lebih dahulu sebelum menilai sumbangan kita terhadap peradaban manusia. Banyak iktibar perlu difahami dan banyak cabaran perlu ditangani. Semua itu menuntut kita untuk sentiasa menghisab diri dan perlu sentiasa berada dalam keadaan beriman dan bertaqwa. Pasti awda juga punya fikiran yang tersirat. Langsungilah kehidupan ini dengan tauhid dan ibadah.