Monday, December 29, 2008

Vokalisasi: Kalam Bersulam Salam

Membaca Cetusan Minda Salleh Latif tentang persembahan vokalisasi Kalam Bersulam Salam sempena Anugerah Kesusasteraan Islam anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam Pelita Brunei keluaran 24 Disember 2008 adalah antara kata-kata azimat yang meneruskan kekuatan insan seni dalam menegakkan kebenaran sastera. Namun bukan pujian yang disanjung tetapi penerusan terhadap perjuangan sastera di tengah-tengah gelora teknologi siber yang secara berterusan menghempas pantai budi. Persembahan tersebut tidak akan menyerlah tanpa dokongan banyak pihak terutamanya pihak penganjur dan peneraju karya yang terdiri daripada barisan penambang syair - Rimi, anak teruna yang kacak dan Hawadah, anak gadis yang molek; barisan penyajak - Hj Osman, Rozina, Hjh Alimah, Asri dan Nuzul; barisan pelakon - Pg Hj Md Don, Shafiee, Halimah, Pg Kamaruddin, Hj Roslan, Bungsu, dan Saiful; barisan pemuzik - Hj Md Yassin, Hj Kassim, dan Ubai; pengurus - Suib; dan penasihat yang sentiasa ada bersama kami - Dato Paduka Hj Alihashim. Merekalah yang sebenarnya menterjemah segala macam konsep dan fikiran dalam bentuk persembahan. Semoga ada banyak lagi persembahan dan bakat baru dalam dunia kesusasteraan Brunei Darussalam.

Monday, December 22, 2008

Malam Pertukaran Budaya Muzik Tradisional dan Moden

Jumaat malam 19 Disember 2008, Kompleks Utama Kedai Bumiputera Pekan Bangar tiba-tiba bingar dengan alunan muzik tradisonal dan moden yang dipersembahkan oleh Gabungan Gulintangan Brunei (Kumpulan Irama Bahtera, Canang 9 dan Warisan) dan Persatuan Lun Bawang Murut Brunei. Cita-cita besar yang dimiliki oleh pemuzik muda cukup menguji daya keseronokan seni setiap yang hadir. Ini merupakan pelantar yang baik untuk mengambangkan seni muzik tanahair terutamanya yang berasaskan muzik tradisional. Bakat-bakat yang diserlahkan cukup meyakinkan kelangsungan warisan muzik tradisi. Kepada semua yang terlibat, bersedialah dengan tanggungjawab yang lebih besar pada hari berikutnya. Tahun 2009 pasti menunggu karya terbaharu biskita. Syabas kepada Pg Yusof selaku Pengerusi Kumpulan dan pengarah muzik Ubai, Yazid, Jihan dan yang lain.

Wednesday, December 17, 2008

Kembara Bakti Belia 2008

Majlis Belia Daerah Brunei Muara (MBDBM) muncul dengan program Kembara Bakti Belia 2008 bagi bulan Disember. Program tersebut berlangsung pada 15-18 Disember 2008 bertempat di Kampung Bebuloh. Kampung Bebuloh walaupun dianggap pedalaman tetapi masih boleh diakses melalui jalanraya sama ada dari Jalan Limau Manis ataupun Jalan Lamunin. Kampung yang terletak di sempadan Brunei-Sarawak dan sempadan Daerah Brunei/Muara-Tutong tersebut sudah dikelambu kemodenan. Mungkin peserta belia tidak nampak kelainan hidup di 'kota' dengan 'desa' tetapi sekurang-kurangnya mereka masih dapat melihat rambutan di atas pokok dan padi di dalam sawah. Jumlah peserta yang seramai 66 belia tersebut bukan hanya terdiri daripada belia tempatan tetapi juga diikutsertai oleh belia dari Malaysia - Sarawak (Limbang); Sabah (Kota Kinabalu); Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sembilan. Antara acara yang menarik dalam program ini ialah khatamal Quran beramai-ramai. Pasti ini satu cara dakwah untuk mendekatkan belia kepada ibadah. Syabas Haji Mustazan dan Mas Osman.

Wednesday, December 10, 2008

Body of Lies

Setelah menonton Body of Lies, kita terpanggil untuk menilai kembali tentang 'situasi' dunia yang diselia oleh penguasa-penguasa tertentu. Manusia cenderung untuk melayan pelbagai jenis nafsu. Kelemahan manusia adalah segala macam rasa yang terpapar sebaik jaga dari tidur. Segala macam rasa itu kadang-kadang muncul dalam mimpi. Maka dalam mimpi manusia yang punyai pelbagai citarasa tersebut mengakses dunia serba mungkin. Daripada suatu cabang proses mimpi, manusia berusaha untuk menikmatnya dalam jaga. Begitulah Body of Lies sebenarnya bercerita tentang hakikat nafsu manusia. Ridley Scott tentu punya sebab tertentu memunculkan dunia pengganas dalam layar perak. Kalau anda menonton, tentu anda mempunyai tanggapan tersendiri. Menontonlah Body of Lies kerana dalam tubuh kita juga ada pembohongan.

Tuesday, December 9, 2008

Semarak Kasturi 2008

Kumpulan Putra Seni, Brunei Darussalam telah melibatkan diri dalam program Semarak Kasturi 2008 - Pentas ASEAN (Asian Traditional Folklore Theatre) bertempat di Telok Ayer Performing Arts Centre (TAPAC) dan Woodlands Regional Library, Singapura pada 29 November hingga 3 Disember 2008. Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Kemuning Singapura dan juga disertai oleh Kelab Teater Rimba Artisukma, Universiti Kebangsaan Malaysia, Teater Pancasila (mahasiswa/i Indonesia), dan Kumpulan Sang Singa Purba, Politeknik Singapura. Tahniah kepada Kemuning atas usaha ini.
Kesempatan berinteraksi dengan peserta lain membuka ruang perbincangan yang cukup besar. Kumpulan Putra Seni sedang berusaha untuk mengadakan Pertemuan Teater Belia Nusantara pada tahun 2009. Semoga banyak lagi ruang teater yang boleh mempertemukan penggiat-penggiat teater Nusantara.