Wednesday, December 17, 2008

Kembara Bakti Belia 2008

Majlis Belia Daerah Brunei Muara (MBDBM) muncul dengan program Kembara Bakti Belia 2008 bagi bulan Disember. Program tersebut berlangsung pada 15-18 Disember 2008 bertempat di Kampung Bebuloh. Kampung Bebuloh walaupun dianggap pedalaman tetapi masih boleh diakses melalui jalanraya sama ada dari Jalan Limau Manis ataupun Jalan Lamunin. Kampung yang terletak di sempadan Brunei-Sarawak dan sempadan Daerah Brunei/Muara-Tutong tersebut sudah dikelambu kemodenan. Mungkin peserta belia tidak nampak kelainan hidup di 'kota' dengan 'desa' tetapi sekurang-kurangnya mereka masih dapat melihat rambutan di atas pokok dan padi di dalam sawah. Jumlah peserta yang seramai 66 belia tersebut bukan hanya terdiri daripada belia tempatan tetapi juga diikutsertai oleh belia dari Malaysia - Sarawak (Limbang); Sabah (Kota Kinabalu); Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sembilan. Antara acara yang menarik dalam program ini ialah khatamal Quran beramai-ramai. Pasti ini satu cara dakwah untuk mendekatkan belia kepada ibadah. Syabas Haji Mustazan dan Mas Osman.

No comments: