Monday, June 7, 2010

Pertemuan Penyair Nusantara Ke-4

Setelah lebih setahun menyepi dari blog, saya kembali melihat blog saya. Apapun yang namanya interaktif seharusnya aktif tetapi mungkin kerana tidak berpeluang berdepan dengan internet setiap hari dan setiap ketika, web, blog, fb dan sebagainya itu tidak dikemaskinikan.
OK, bulan ini saya sedang melakukan kerja-kerja asas terhadap perlaksanaan Pertemuan Penyair Nusantara ke-4 (PPN4) yang dianjurkan oleh Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Brunei pada 16-18 Julai 2010. Saya dibantu oleh beberapa orang pelajar saya sedang beroperasi di bolik gerakan Majlis Belia Brunei. Untung ada ruang tersebut. Jadi dapatlah kami menyusun program, menaip, dan mengemaskini data peserta.
Kepada penyair yang berminat menyertai PPN4 sila hantar tiga buah sajak bersama biodata dan foto kepada asterawani@yahoo.com atau faks +673 2337033. Tarikh akhir menghantar sajak yang akan dibukukan itu ialah 10 Jun 2010. Tetapi penyertaan masih dibukakan sehingga 30 Jun 2010. Setiap penyertaan dikenakan yuran pendaftaran sebanyak $10 sahaja.

Monday, March 16, 2009

Baca Puisi ASTAKA MERDEKA

Baca puisi ASTAKA MERDEKA telah dianjurkan oleh DBP Brunei dengan kerjasama the Rizqun International Hotel pada 13 Mac 2009. Acara tersebut mengambil sempena sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Brunei. Saya telah menyediakan 2 segmen puisidra.
Bagi segmen pembukaan, saya telah menyiapkan sebuah puisidra bertajuk "Tanda Arah" dengan deklamator terdiri daripada Hj Osman Hj Damit, Rozina Hj Salim, Huzaimi Hj Tompel, Fathinusalamah dan Abd Rahim yang berkolaborasi dengan Kumpulan Putra Seni. Sementara bagi segmen terakhir yang berjudul "Jalinan Astaka Merdeka", saya mendapat khidmat Salleh Latiff yang mendeklamasikan sajak bersama Hasrulhaizan Hj Kahar dan Sharifah Juzlizah Wan Julaini serta syair yang ditambang oleh Ubaidah Hj Awg Damit. Persembahan akhir ini dijayakan bersama oleh RAKIS UBD, Kelab Teater UBD dan barisan belia prihatin Majlis Belia Brunei yang diketuai oleh Awg Mustapha Hj Kassim.
Acara malam tersebut diselajurkan dengan majlis pelancaran buku-buku karya Penulis SEA Write Award Brunei. Turut membacakan sajak pada malam itu ialah Yura Halim, K Manis, Rahim MS, DP Hj Jemat, Hj Jawawi, HB Mahmud, adik Syazwani, Grupemuisi DBP dan Kumpulan Ombak Laut (Belia Kg Lumapas).
Terima kasih dan syabas kepada semua yang menjayakan projek ini.

Seminar Sastera 2009 di Singapura






Ketika mendeklamasikan sajak "Tanda Arah"

Berikut beberapa gambar sekitar Seminar Sastera 2009.

Wednesday, March 11, 2009

Pertemuan Sastera

Minggu pertama Mac saya mendapat dua undangan untuk menghadiri pertemuan sastera. Yang pertama ialah Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan 2009 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 - 8 Mac 2009. Sementara yang kedua ialah Seminar Puisi dan Islam di Singapura pada 7 - 8 Mac 2009.
Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan 2009 telah dirasmikan oleh YB Menteri di Jabatan Ketua Menteri pada petang Jumaat 6 Mac 2009. Acara diteruskan dengan ucap utama 1 oleh Prof Emeritus Tan Sri Datuk Pendeta Ismail Hussein, Ketua 1 GAPENA dan ucap utama 2 yang disampaikan oleh Encik Razy, Timbalan Ketua Pengarah 1, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Saya telah membentangkan satu kertas kerja di Kota Kinabalu pada pagi Sabtu 7 Mac 2009. Persidangan tersebut dianjurkan oleh BAHASA Sabah dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri dan Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Lewat petang Sabtu saya terbang pula ke Singapura untuk membentangkan satu lagi kertas kerja pada pagi Ahad 8 Mac 2009. Untuk sesi pembentangan, sebenarnya saya telah diminta pada saat-saat akhir untuk menggantikan tempat Taufik Ismail yang berhalangan untuk hadir. Di sebelah petang saya menjadi panel forum dan di sebelah malam saya mendeklamasikan sajak. Semua acara tersebut diadakan di Taman Warisan Melayu, Singapura. Turut hadir menyaksikan forum ialah YB Zainul Rashid, Menteri Kanan Hal Ehwal Luar Singapura sementara untuk acara baca sajak, YB Dr Mohamad Maliki Osman, SUT Kementerian Dalam Negeri Singapura telah menjadi tetamu kehormatnya. Antara yang beraksi pada malam itu ialah Diani Kasian dan Khalid Salleh dari Malaysia; SD Negeri Karya Bakti BSD Tangerang dari Indonesia; Ciung Winara, Asmin, Eunosasah, Rohman Musanip, Sapiee Ahmad Razaly, Noor Hasnah Adam dan kawan-kawan, Paman - Iskandar Muda Abdul Jalil, Art Fazil dan Rafaat Hamzah dari Singapura.
Seminar Sastera tersebut dikelolakan oleh Degup Sastera dengan kerjasama Taman Warisan Melayu, Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura dan National Arts Council. Tahniah kepada Degup Sastera yang diketuai oleh Azrin Yahya. Semoga acara mendatang akan lebih matang.

Tuesday, February 3, 2009

Suara GAZA


Aksi pelukis Malek Metarsad bersama Grupemuisi DBP.

Aksi RAKIS UBD dengan sajak LEGASI GAZA karya Z.A.Brunei yang dideklamasikan oleh Adi Swara dan Anisa.



ASTERAWANI Brunei dengan kerjasama Sumbangsih Mulia telah berhasil mengadakan projek baca puisi SUARA GAZA pada 31 Januari 2009. Antara sasterawan elit yang hadir ialah Yura Halim, Sukri Zain, Yahya M.S., Zairis M.S., Muslim Burmat, Salleh Latif, A. Rahman Yusof, HJR, dan A. Hashim Hamid, di samping rakan penulis yang lain seperti A. Ahmad Hussain, Aminah Momin, nurfik, Sulaiman Duraman, Tarif Hamid, Rosman, Latif Chuchu, Pg Metassan, Masri Idris, Kassim Omar, Hidop Zin, Adi Swara, Su'ut Ahmad, Maslin Jukin, Ena Wasli, Dk Ratna, Kamis Tuah, (dan banyak lagi), termasuk Grupemuisi DBP dan RAKIS UBD. Lebih $1200.00 telah didermakan oleh para pengunjung acara tersebut. Menurut penyelenggara, projek ini akan dilaratkan ke daerah-daerah lain. Semoga amal jariah yang disampaikan pada malam tersebut mendapat berkat Ilahi dan sampai ke tangan mereka yang memerlukannya di GAZA.

Wednesday, January 14, 2009

Musim Berubah

Hadir dalam kapsul tahun Hijrah 1400 dan Tahun Masehi 2009 menyoal tanda-tanda kewujudan dan kecapaian hidup. Peralihan Tahun Hijrah 1400 ditandai dengan bacaan doa akhir tahun dan awal tahun pada 29 Disember 2008. Seluruh masjid, surau, dan balai ibadah di Negara Brunei Darussalam mengadakan majlis sambutan Tahun Hijrah tersebut. Peralihan Tahun Masehi 2009 di Brunei pula tidak saya ketahui kerana waktu itu saya berada di Kota Kinabalu, Sabah dalam kerangka Kembara Bakti Belia Majlis Belia Daerah Brunei Muara bersama Angkatan Belia Islam Malaysia, Sabah. Dari jendela tempat penginapan kami di Kompleks Tabung Haji terlihat di kejauhan percikan bunga api. Tapi bukan sambutan yang perlu diberikan perhatian. Sebagai manusia, keperluan hidup menuntut banyak permintaan, harapan, impian, cita-cita, dan keinginan. Namun apa yang menjadi dasar ialah pada setiap masa kita harus merealisasikan hablum minallah kemudian baharulah hablum minannas iaitu menjaga hubungan kita sebagai hamba kepada Allah kemudian baharulah hubungan kita sesama insan. Sehubungan dengan itu tentu kita memperkirakan tentang nisbah amal ibadah kita lebih dahulu sebelum menilai sumbangan kita terhadap peradaban manusia. Banyak iktibar perlu difahami dan banyak cabaran perlu ditangani. Semua itu menuntut kita untuk sentiasa menghisab diri dan perlu sentiasa berada dalam keadaan beriman dan bertaqwa. Pasti awda juga punya fikiran yang tersirat. Langsungilah kehidupan ini dengan tauhid dan ibadah.

Monday, December 29, 2008

Vokalisasi: Kalam Bersulam Salam

Membaca Cetusan Minda Salleh Latif tentang persembahan vokalisasi Kalam Bersulam Salam sempena Anugerah Kesusasteraan Islam anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam Pelita Brunei keluaran 24 Disember 2008 adalah antara kata-kata azimat yang meneruskan kekuatan insan seni dalam menegakkan kebenaran sastera. Namun bukan pujian yang disanjung tetapi penerusan terhadap perjuangan sastera di tengah-tengah gelora teknologi siber yang secara berterusan menghempas pantai budi. Persembahan tersebut tidak akan menyerlah tanpa dokongan banyak pihak terutamanya pihak penganjur dan peneraju karya yang terdiri daripada barisan penambang syair - Rimi, anak teruna yang kacak dan Hawadah, anak gadis yang molek; barisan penyajak - Hj Osman, Rozina, Hjh Alimah, Asri dan Nuzul; barisan pelakon - Pg Hj Md Don, Shafiee, Halimah, Pg Kamaruddin, Hj Roslan, Bungsu, dan Saiful; barisan pemuzik - Hj Md Yassin, Hj Kassim, dan Ubai; pengurus - Suib; dan penasihat yang sentiasa ada bersama kami - Dato Paduka Hj Alihashim. Merekalah yang sebenarnya menterjemah segala macam konsep dan fikiran dalam bentuk persembahan. Semoga ada banyak lagi persembahan dan bakat baru dalam dunia kesusasteraan Brunei Darussalam.