Wednesday, March 11, 2009

Pertemuan Sastera

Minggu pertama Mac saya mendapat dua undangan untuk menghadiri pertemuan sastera. Yang pertama ialah Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan 2009 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 - 8 Mac 2009. Sementara yang kedua ialah Seminar Puisi dan Islam di Singapura pada 7 - 8 Mac 2009.
Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan 2009 telah dirasmikan oleh YB Menteri di Jabatan Ketua Menteri pada petang Jumaat 6 Mac 2009. Acara diteruskan dengan ucap utama 1 oleh Prof Emeritus Tan Sri Datuk Pendeta Ismail Hussein, Ketua 1 GAPENA dan ucap utama 2 yang disampaikan oleh Encik Razy, Timbalan Ketua Pengarah 1, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Saya telah membentangkan satu kertas kerja di Kota Kinabalu pada pagi Sabtu 7 Mac 2009. Persidangan tersebut dianjurkan oleh BAHASA Sabah dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri dan Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Lewat petang Sabtu saya terbang pula ke Singapura untuk membentangkan satu lagi kertas kerja pada pagi Ahad 8 Mac 2009. Untuk sesi pembentangan, sebenarnya saya telah diminta pada saat-saat akhir untuk menggantikan tempat Taufik Ismail yang berhalangan untuk hadir. Di sebelah petang saya menjadi panel forum dan di sebelah malam saya mendeklamasikan sajak. Semua acara tersebut diadakan di Taman Warisan Melayu, Singapura. Turut hadir menyaksikan forum ialah YB Zainul Rashid, Menteri Kanan Hal Ehwal Luar Singapura sementara untuk acara baca sajak, YB Dr Mohamad Maliki Osman, SUT Kementerian Dalam Negeri Singapura telah menjadi tetamu kehormatnya. Antara yang beraksi pada malam itu ialah Diani Kasian dan Khalid Salleh dari Malaysia; SD Negeri Karya Bakti BSD Tangerang dari Indonesia; Ciung Winara, Asmin, Eunosasah, Rohman Musanip, Sapiee Ahmad Razaly, Noor Hasnah Adam dan kawan-kawan, Paman - Iskandar Muda Abdul Jalil, Art Fazil dan Rafaat Hamzah dari Singapura.
Seminar Sastera tersebut dikelolakan oleh Degup Sastera dengan kerjasama Taman Warisan Melayu, Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura dan National Arts Council. Tahniah kepada Degup Sastera yang diketuai oleh Azrin Yahya. Semoga acara mendatang akan lebih matang.

No comments: